Kes lelaki Isr@el: Abdul Azim, Syarifah Faraha tak mengaku miliki pistol


Klang: Sepasang suami isteri yang dipercayai membeli senjata api di Thailand untuk dijual kepada warga Israel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki senjata api haram.


Bagaimanapun, pasangan itu, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, dan Sharifah Faraha Syed Husin, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.


Mengikut pertuduhan, Sharifah Faraha yang juga penganggur didakwa didapati dalam milikannya senjata api dengan menyalahi undang-undang iaitu pistol jenama CZ 75 P-01 CAL.9 LUGER, NO.SIRI : A216210.


Dia didapati melakukan kesalahan itu di di alamat No. 183 Jalan Haji Omar Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, Selangor pada jam 8 malam, 29 Mac lalu.


Sharifah Faraha didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama, iaitu penjara maksimum 14 tahun.


Bagi pertuduhan ke atas Abdul Azim pula, dia didapati ada bersama dengan Syarifah Faraha yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa dia mengetahui bahawa isterinya memiliki senjata api menyalahi undang-undang di alamat, tarikh dan masa yang sama.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Fazeedah Faik tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah Akta Senjata Api penalti lebih berat adalah kesalahan tidak boleh dijamin.


Pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.


Mahkamah kemudian menetapkan 11 Jun untuk sebutan kes.


Sebelum ini, media melaporkan, pasangan suami isteri yang ditahan dalam Ops Shalom berkait seorang warga Israel dikesan memiliki enam pucuk pistol bersama 200 butir peluru.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments