Logo kasut jenama Verns mirip kalimah Allah, satu laporan polis dibuat berhubung video yang tular

 


KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat di Pulau Pinang berhubung tulisan menyerupai kalimah Allah pada tapak kasut wanita yang dikesan tular dalam laman sosial Facebook.


Laporan dibuat seorang guru di sebuah sekolah kebangsaan di Kepala Batas, selepas melihat satu hantaran di laman Facebook atas nama Hidayah Sani, yang berkongsi maklumat mengenai tulisan kalimah Allah pada tapak kasut wanita, awal pagi tadi.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua di Butterwoth, sebaik mengesan hantaran yang dikongsi itu.


"Berdasarkan laporannya, pengadu melihat hantaran di Facebook ketika berada di rumahnya sekitar jam 4.30 pagi sebelum bertindak membuat laporan polis atas dasar tanggungjawab.


"Tujuan pengadu itu juga adalah untuk menggesa supaya satu siasatan dijalankan bagi mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab untuk diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya ketika dihubungi.


Razarudin berkata, hasil siasatan awal terdapat dua gambar dimuat naik dalam hantaran itu yang memaparkan kasut perempuan berwarna krim pada bahagian hadapan dan bahagian tapak yang tertera kalimah Allah.


"Pemeriksaan juga mendapati hantaran mempunyai satu pautan video aplikasi TikTok di alamat https://vt.tiktok.com/ZSFbHs7RK/ berhubung perkara yang sama," katanya.


Beliau berkata pengadu juga mendapati hantaran berkenaan dikongsi sekitar 8,000 individu.


"Pada masa ini pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut sebaik menerima maklumat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas kesalahan yang menyebut mengenai dengan sengaja mengeluarkan perkataan, bunyi, isyarat dan sebagainya berniat hendak melukakan perasaan keagamaan seseorang.


"Selain itu siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998," katanya.


Pada masa ini siasatan dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU).


Sementara itu carian di alamat akaun TikTok yang dilaporkan itu mendapati video berkenaan sudah dipadamkan.


Terdahulu, pengurusan Vern's Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang pada pandangan mereka disalah tafsir hingga menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Post a Comment

0 Comments