Nahas helikopter TLDM: April sepatutnya istimewa, dipahat satu tarikh duka - isteri juruterbang


 


SEREMBAN: April sepatutnya menjadi bulan istimewa, namun sebaliknya bertukar duka.


Perkara itu diluahkan menerusi hantaran Facebook Siti Aisyah Mohd Roslan, isteri kepada Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam tragedi dua helikopter di Pangkalan TLDM Lumut, Perak pada Selasa lalu.


Menurut Siti Aisyah, banyak tarikh istimewa pada April termasuk hari ulang tahun kelahirannya Khamis lalu, selain ulang tahun perkahwinan mereka.


"Setiap kali bulan April, sayang mesti suka sebab abang lahir 3 April, ulang tahun perkahwinan ibu dan ayah abang 3 April, ibu abang lahir 5 April, ulang tahun perkahwinan kita 15 April, Affan lahir 21 April.


"Lepas ni, bertambah satu tarikh duka untuk sayang dan anak-anak Abang... 23 April 2024 hari pemergian Abang untuk selama lamanya...," luahnya menerusi media sosial itu pada hari kelahirannya yang lalu.


Siti Aisyah turut mencoret selepas ini tiada lagi ucapan terima kasih daripada suaminya itu setiap kali dia melakukan sesuatu dan mengakui ucapan itu membuatkan dirinya rasa dihargai.




"Mulut Abang tak pernah lekang dengan ucapan terima kasih. Terima kasih Abang tu selalu buat sayang rasa dihargai... Sekarang sayang pula nak ucapkan terima kasih kat Abang," luahnya.


Wanita itu turut meluahkan dia kini menerima takdir yang menentukan pemergian Allahyarham dan sentiasa kuat untuk meneruskan hidup serta menjaga anak.


Pada 23 April lalu, negara dikejutkan dengan nahas membabitkan dua helikopter ketika menjalani raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 sempena Hari Terbuka Armada di Pangkalan TLDM Lumut.


Seramai 10 pegawai dan anggota terkorban dalam nahas itu.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments