Polis akan rakam keterangan ibu bapa budak 2 tahun lemas dalam tasik

 



SERI ISKANDAR: Polis akan merakamkan keterangan ibu bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditemui lemas dalam tasik berhampiran Masjid Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah, berkata kes disiasat mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001, iaitu mengabaikan kanak-kanak tanpa pengawasan yang munasabah.


"Ya, kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit akan diambil keterangan.


"Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa di Hospital Changkat Melintang, Bota, mendapati punca kematian ialah lemas," katanya ketika dihubungi, malam tadi.


Menurut laporan media, semalam, difahamkan kejadian itu berlaku ketika keluarga mangsa sedang menunggu waktu solat zuhur.


Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, dipetik berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dikejarkan ke lokasi sebaik saja pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 1.19 tengah hari.


Pasukan penyelamat di air (PPDA) yang menyelam untuk melakukan pencarian kemudian menjumpai mayat mangsa pada jarak tiga meter dari tebing tasik pada jam 4.25 petang.


Mengulas lanjut, Hafezul Helmi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Bahagian Keselamatan UTP bahawa sepasang ibu bapa telah memaklumkan bahawa anak lelaki mereka yang berusia dua tahun hilang ketika berada di masjid universiti itu pada jam 1.15 tengah hari.


"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid itu mendapati ada kelibat mangsa dilihat sedang berjalan ke arah tasik.


"Pasukan bomba yang dibantu Unit Skuba Bomba Ipoh kemudian menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 4.25 petang.


"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Zulkarnaiin Jusoh melalui talian 013-9740294 bagi membantu siasatan," katanya.


Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments