Polis Jerman rampas 4 Bugatti Veyron dikaitkan dengan skandal 1MDB


BERLIN: Polis Jerman merampas empat kereta model Bugatti Veyron yang jarang ditemui dari kemudahan simpanan persendirian di Munich, Jerman, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut laporan media Jerman.


Kenderaan mewah yang dirampas dikelaskan di bawah siri eksklusif 'Legends' kereta hiper Bugatti, yang mana hanya 18 kereta dihasilkan di bawah siri itu.


Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini. Setiap kereta mempunyai harga sekitar AS$3 juta (RM14.3 juta).


"Kereta itu jarang dijual, dan biasanya tidak dijual di lelongan awam. Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih," menurut media Jerman, Bild.


Ia menyatakan, kereta itu diletakkan di tempat letak kereta Motorworld Munich, ketika suatu pertunjukan automotif.


Skandal 1MDB melibatkan personaliti daripada ahli politik dan bank sehinggalah bintang Hollywood dan telah membawa kepada siasatan jenayah di beberapa negara.


Polis Munich tidak mahu berkongsi sebarang butiran khusus mengenai kes yang sedang berjalan dengan Bild, yang memetik kebanyakan laporannya daripada sumber badan kehakiman Jerman.


Bild melaporkan bahawa kereta-kereta itu telah disita berhubung dengan siasatan mengenai dana kekayaan negara 1MDB. - AGENSI


Sumber: Berita Harian

 

Post a Comment

0 Comments