"Saya terkejut bila dia tegur saya" - Dj Dave bantu penyanyi 80an yang jadi gelandangan kini buat "comeback"


Kuala Lumpur:  Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), Datuk DJ Dave, 67, nekad mencari Ben Nathan, 62, selepas penyanyi itu menegurnya ketika di dalam kereta pada 2017 lalu.


DJ Dave berkata, ketika itu beliau terkejut dan simpati kerana tidak menyangka bintang dikenali ramai seperti Ben Nathan menjalani kehidupan sebagai gelandangan serta merayau-rayau di ibu kota.


"Saya ingat lagi, masa dia (Ben) tegur saya memang terkejut dan sempatlah bertanya macam mana boleh kenal saya dan katanya, mestilah dia kenal sebab saya juga penyanyi sepertinya. Selepas meneliti, baru saya perasan, itu Ben Nathan.


"Saya cakap dengannya akan jumpa dia semula dan Ben minta bertemu di Brickfields. Hari yang dijanjikan itu saya pun ke Brickfields, tapi tak berjumpa dia. Puas saya tunggu dan rasa kecewa.


"Keesokkannya saya pergi lagi ke Brickfields, tapi tak jumpa juga. Jadi, saya akhirnya minta bantuan pihak polis untuk cari dan kesan Ben ada di mana pada hari seterusnya.


 Alhamdulillah, jumpa serta saya bawa dia ke dalam kereta untuk berbincang," katanya mengimbau kenangan enam tahun lalu.




Kenangan antara DJ Dave dan Ben Nathan diceritakan kembali pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Kebahagiaanmu nyanyian penyanyi lagu Stanza Sepi Sekeping Hati itu di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Menurut DJ Dave, kini beliau gembira dan bersyukur dapat merealisasikan impian Ben untuk berpeluang merakamkan lagu ciptaan komposer dari negara jiran, Indonesia.


"Dia (Ben) pernah cakap dengan saya nak ke Jakarta, Indonesia sebab mahu rakam lagu dengan komposer di sana. Ketika itu, keadaan dirinya masih tidak stabil dan sihat sebagaimana sekarang. Kini, dia sudah sangat terurus.


"Apapun, saya paksa dia (Ben) berusaha nyanyi semula selama enam bulan dengan menjadi guru vokalnya untuk melatih menyanyi semula. Kalau tidak, dia memang dah tak boleh menyanyi langsung. Tapi, mujur jugalah dia ada semangat nak bangkit semula," katanya.


Menurut DJ Dave, tempoh rakaman lagu dalam studio hanya empat jam saja dan beliau bangga Ben dapat melakukan yang terbaik pada lagu Kebahagiaanmu itu yang kini muzik videonya difahamkan sudah dimuat naik di YouTube. 





Single Kebahagiaanmu yang dirakamkan Ben pada tahun lalu menerima dana berjumlah RM20,000 daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) bagi tujuan berkenaan.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments