"Tolonglah jangan boikot saya, saya rasa lalui hidup paling susah sekarang" - Mak Wan


Kuala Lumpur: "Dulu saya tak pernah buat begini (tawarkan diri) kepada mana-mana penerbit agar bagi peluang berlakon kerana ia memalukan diri sendiri.

 

"Tapi sekarang saya dah tak peduli. Saya perlukan sangat tawaran berlakon untuk tampung hidup dan untuk bayar segala kos serta perbelanjaan. Tak kisahlah watak kecil pun."

 

Demikian kata pelakon veteran, Mak Wan berkenaan nasib malang yang menimpanya apabila ketandusan tawaran berlakon berbanding dahulu.

 

Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimatussa'diah Mohd Daud, 62, berkata, dia buntu apabila nasibnya dalam industri seni semakin malap menyebabkan dia kini beralih arah kepada perniagaan makanan.

 

"Hari ini (Isnin) sehingga 16 Jun, saya mula berniaga di festival jualan di Pendang, Kedah. Saya jual mi kari dan laksa sebagai mata pencarian. Syukurlah bisnes saya ditularkan oleh seorang TikTokers.

 

"Tapi saya tetap akan cari peluang berlakon kalau ada ruang. Ada yang kata nak panggil berlakon tapi tak jadi. Tak tahulah apa salah saya disebabkan kontroversi hari itu.

 

"Saya dihakimi sampai sekarang tiada 'job'. Ada bunga-bunga penerbit nak bagi job tapi tak jadi," katanya ditemui ketika hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-15 Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia di Hotel Grand Barakah, semalam.

 

Menurutnya, berniaga juga mempunyai cabaran tersendiri terutama apabila festival jualan ditamatkan awal berikutan satu isu hangat di Kedah pada Ramadan lalu.

 

"Di situ terhentinya rezeki saya kerana orang lain buat hal sedangkan saya baru meniaga dua hari. Kasihanilah saya kena tanggung kerugian begitu sahaja. Siapa nak bayar kerugian yang dialami?. "Sekarang faham-fahamlah keadaan cuaca tak menentu, sekejap panas, hujan serta ribut sehinggakan terpelanting khemah dan semua barang-barang jualan.

 


"Allah duga saya lagi apabila menantu saya, Amira ditidurkan selama sebulan sejak Ramadan akibat sakit leukimia dan meninggal pada Hari Raya kedua. Dia ada seorang anak kecil usia sembilan bulan yang kini dijaga oleh anak saya, Mohd Zakaria bersama mentuanya," katanya.

 

Mak Wan berkata, nasib malangnya seakan tiada kesudahan, namun dia reda dengan apa yang berlaku.

 

"Saya sebenarnya hanya gagahkan diri berniaga. Dengan keadaan cuaca, saya jadi mudah semput. Bayangkan saya pergi sendiri ke lokasi berniaga di mana-mana naik grab. Tiada siapa nak bawa.

 

"Cuma baru-baru ini anak saya ambil dan hantar sebab dia cuti. Dia pun tengok saya tak sihat. Tak dinafikan saya rasa lalui hidup paling susah sekarang.

 

"Khemah terbang melayang angkat sendiri. Kalau ada pembantu lainlah. Tapi saya tak mampu nak bayar. Saya mula berniaga dari jam 11 pagi sampai 11 malam tanpa cuti. Ada ketika saya sakit tapi hanya Allah tahu keadaan saya," katanya.

 

Terdahulu, nama pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 3 ini tercalar apabila bekas suaminya mendedahkan pelakon itu mempunyai akhlak tidak baik.

 

Pendedahan itu disusuli dengan pendedahan lain dibuat seorang wanita di laman Twitter mendakwa Mak Wan melakukan sihir kepada neneknya kerana cemburu.

 

Tidak lama selepas itu, tular video yang merakam gelagat Mak Wan berkaraoke dalam tempoh idah.

 

Kemudian, bekas pembantu peribadinya tampil mendedahkan perbuatan syirik pelakon itu menerusi beberapa video yang tular dalam aplikasi TikTok.

 

Kredit: Metro

Post a Comment

0 Comments