Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
sudah melengkapkan siasatan berhubung kes kerugian pelaburan berjumlah RM43.9
juta yang dialami Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional
Berhad (PNB) dalam FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, kertas
siasatan terbabit sudah diserahkan kepada bahagian perundangan.
"Kertas siasatan ini diserahkan kepada Pengarah Bahagian
Perundangan dan Pendakwaan SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
"Keputusan berhubung siasatan ini akan diperoleh dalam
masa yang terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi
mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat
e-dagang berkenaan.
Azam dilaporkan berkata, transaksi mencurigakan itu dikesan
sejak 2018 hingga tahun lalu.
SPRM turut dilaporkan merampas kira-kira 60 kotak mengandungi
pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu
siasatan.
Sebelum itu, SPRM menggeledah kediaman pasangan yang juga
pengasas syarikat berkenaan dan menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan
berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Malah, SPRM membekukan beberapa akaun bank persendirian dan
syarikat milik pengasas terbabit.
Kredit: Harian Metro
0 Comments