Asyik Sakit Selepas Bersama - Prof Dr Jamiyah Hassan

 


SETIAP hari sekurang-kurangnya dua wanita menemui maut akibat barah pangkal rahim atau serviks.


Enam kes baharu barah pangkal rahim dikenal pasti dalam kalangan wanita di negara ini setiap hari.


Berdasarkan laporan tahun 2012, barah pangkal rahim adalah serangan kedua paling kerap menyerang wanita di negara ini.


Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Universiti Malaya, Prof Dr Jamiyah Hassan, berkata barah pangkal rahim merujuk kepada kelainan pertumbuhan sel pada lapisan pangkal serviks pada bahagian bawah rahim atau uterus.


Barah pangkal rahim kata beliau, kerap berlaku dalam kalangan kumpulan wanita berusia antara 40 sehingga 64 tahun.


Punca penyakit jangkitan seksual


"Oleh kerana barah ini mengambil masa lebih sepuluh tahun untuk berkembang, langkah pencegahan perlu dengan pengambilan vaksin," katanya.


Kebanyakan kes pangkal rahim berpunca daripada penyakit jangkitan seksual (STI) yang membawa pelbagai jenis virus papilloma manusia (HPV).


Seorang bagi setiap dua orang wanita dewasa yang aktif seksual akan dijangkiti dalam seumur hidup mereka.


Jangkitan berterusan dengan jenis tertentu HPV boleh menyebabkan luka pra kanser, membawa kepada barah pangkal rahim.


Selepas jangkitan HPV, ia mengambil masa antara 15 sehingga 20 tahun sebelum berkembang menjadi barah.


Kanser serang tisu berhampiran


"Simptom atau gejala biasanya tidak dapat dirasai sehingga pra kanser menjadi lebih ganas dan menyerang tisu berhampiran.


"Antara gejala kerap berlaku termasuk pendarahan tidak normal pada vagina seperti selepas melakukan hubungan intim dan selepas menopaus.


"Gejala lain termasuk berlaku pendarahan antara waktu haid dan mengalami haid lebih lama dan banyak daripada biasa," katanya.


Gejala lain yang perlu diperhatikan adalah pengeluaran lendir luar biasa yang mungkin mengandungi sedikit darah dan berkemungkinan berlaku antara waktu haid atau selepas menopaus.


Mengalami kesakitan ketika melakukan hubungan intim juga adalah antara petanda menunjukkan kewujudan barah pangkal rahim.


Ujian saringan kesan serangan


Barah pangkal rahim boleh dikesan dengan menjalani ujian saringan pap smear bagi mengesan sebarang perubahan sel dalam serviks.


Ujian perlu dilakukan secara tetap untuk mengesan lebih awal kelainan sel dan merawat sebelum berkembang menjadi barah.


Prosedur lain termasuk menjalani ujian kolposkopi dan biopsi serviks bagi mengesan sel barah pada permukaan pangkal rahim.


Ujian biopsi endoservikal pula menentukan sama ada terdapat sel barah pada saluran serviks.


Biopsi atau prosedur pembedahan elektrosurgikal loop (LEEP) disyorkan untuk mengeluarkan tisu serviks untuk pemeriksaan di bawah mikroskop.


Info:

*Punca barah pangkal rahim:

-Terdapat lebih 40 jenis HPV boleh menjangkiti organ seks wanita dan lelaki.

-HPV jenis 6 dan 11 menyebabkan 90 peratus ketuat alat kelamin.

*HPV jenis 16, 18, 31, 33, 45, 52 dan 58 menyebabkan barah dan penyakit:

-90 peratus barah pangkal rahim.

-90-95 peratus barah dubur atau anus.

-90-95 peratus barah bibir vagina/ vulvar.

-90 peratus ketuat alat kelamin.

*Rawatan barah pangkal rahim:

- Rapi tunggal atau gabungan:

1. Pembedahan membuang barah.

- Bergantung kepada lokasi dan tahap barah kerana ia menentukan keupayaan pesakit untuk hamil.

2. Radiasi

- Untuk tahap barah tertentu menggunakan dos tinggi sinar x atau penanaman (implan) pada kaviti vagina bertujuan membunuh sel barah.

- Digabungkan dengan pembedahan.

3. Radiasi kemoterapi:

- Gabungan kemoterapi dan radiasi.

- Rawatan untuk tahap awal dan lewat.

4. Kemoterapi:

- Merawat barah lanjutan bagi membunuh sel barah.

Post a Comment

0 Comments