Kemana Menghilangnya Anita Sarawak? Berita Meninggal Dunia Anita Adalah Palsu

 


Adik kepada Anita Sarawak sendiri Noorkumalasari berkata jangan percaya cerita tidak benar tentang Anita Sarawak, mereka juga tidak berhubung sejak tujuh tahun lalu. - Foto Google

Misteri 'kehilangan' penyanyi bertaraf superstar, Anita Sarawak, 69, sejak enam tahun lalu sering meletakkan adiknya, pelakon dan penyanyi popular era 1980-an, Noorkumalasari atau Noor, 65, dalam situasi sukar.


Acap kali menjadi buruan, terutama daripada wartawan yang ingin mendapat penjelasan sebenar setiap kali berita terbaru mengenai Anita diperkatakan, Noor diibaratkan seperti berada dalam situasi 'ditelan mati emak, diluah mati bapa'.


Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Mata dan Hati Seorang Kekasih itu, berbohong bukan prinsipnya. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk berselindung atau menyembunyikan kenyataan kerana Noor yakin, kebenaran pasti akan terbukti.


Bertemu Noor ketika mengikuti penggambaran telefilem, Pintu No 9 arahan Fadzil Teh terbitan Zeel Production yang mengangkat kisah benar mengenai arwah ibu bapanya, Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan Datin Umi Kalthum di Makkah, merungkai segala kisah yang selama ini hanya tersimpan di sudut hatinya.


Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, sejak Anita yang mesra disapa Kak Nita pulang secara tergesa-gesa ke Las Vegas, Amerika Syarikat bersama suaminya, Mahathir Abdullah pada pertengahan tahun 2011, dirinya sering berada dalam situasi serba salah.


"Pada awal kehilangan Kak Nita, saya amat tertekan apabila menerima panggilan bertalu-talu daripada mereka yang ingin mengetahui kedudukan sebenar. Sehingga hari ini, masih ada yang bertanya. Sejak Kak Nita kembali ke Las Vegas, saya hanya sekali berpeluang bercakap dengannya.


"Itupun ketika Kak Nita menghubungi saya untuk mengucapkan selamat hari jadi. Ketika itu, suasana masih panas dan wartawan sering memburu saya. Jadi, saya ambil keputusan tidak lagi menghubungi Kak Nita. Biarlah saya tidak tahu apa-apa cerita mengenainya kerana rimas menjadi buruan.


"Saya tidak pandai berbohong dan apa yang berlaku ini meletakkan saya dalam dilema. Kak Nita juga amat faham dengan situasi saya, malah tidak mahu masalahnya menjadi beban dalam hidup saya. Mungkin kerana tidak mahu saya terus tertekan, Kak Nita tidak lagi menghubungi saya.


"Secara jujur, sudah enam tahun saya tidak berhubung dengan Kak Nita. Saya sedih kerana hubungan kami tidak lagi seakrab dulu. Sejak itu, saya tidak lagi menerima panggilan ucapan hari jadi seperti yang sering dilakukannya setiap tahun," katanya dalam nada sebak.


Mahu jalani hidup biasa




Noor berkata, Kak Nita bagaimanapun, masih berhubung dengan kakaknya, Noraini malah sering berkirim salam kepadanya.


"Saya tidak tahu nombor telefon baharu yang digunakan Kak Nita kerana hanya Noraini yang masih berhubung dengannya. Lebih baik begini. Apa saja isu yang timbul termasuk Kak Nita dikatakan sudah kembali ke Singapura, saya hanya mengetahuinya menerusi wartawan.


"Setahu saya, Kak Nita tidak akan pulang ke Malaysia lagi. Sebelum terputus hubungan, Kak Nita memberitahu, tidak mahu menyanyi lagi. Dunia gemerlapan sebagai selebriti sudah dibuang jauh daripada kehidupannya.


"Kak Nita mahu menjalani hidup seperti orang biasa. Berehat ketika usia memasuki penghujung senja dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Kak Nita mahu keluar ke pasar dengan bebas setiap hari tanpa diekori lensa kamera. Jika berada di Malaysia atau Singapura, semua itu tidak dapat dilakukannya dengan bebas," katanya.


Kebenaran cerita perpisahan Anita, Mahathir


Noor yang terkenal sebagai bintang air mata juga tidak dapat memastikan sejauh mana kebenaran cerita Kak Nita dan Mahathir yang dikatakan sudah berpisah.


"Ketika Kak Nita pulang tergesa-gesa tempoh hari, sudah timbul kisah rumah tangga mereka berantakan. Saya masih ingat, Kak Nita dan Mahathir meminta dua adik-beradik kami iaitu Noor Salasawati dan Noor Jumaaton menghantarnya ke lapangan terbang. Itupun mereka tidak dibenarkan keluar, hanya melambai daripada kereta," katanya.


Noor mengakui, terkejut apabila mendapat tahu Kak Nita pulang ke Las Vegas begitu saja tanpa terlebih dulu bertemu ahli keluarganya. Perkara itu hanya diketahuinya melalui dua adik-beradik mereka yang menghantar Kak Nita ke lapangan terbang.


"Sebelum itu, Kak Nita meminta saya mencari sebuah kediaman kerana dia ingin membelinya. Kak Nita sudah merancang untuk menetap di Kuala Lumpur, tetapi ia tidak menjadi kenyataan.


"Saya memang kecewa kerana sudah berusaha mencari kediaman yang selesa untuk didiaminya. Saya pernah bertanya mengenai Mahathir ketika mereka di Las Vegas, tetapi Kak Nita memberitahu suaminya sibuk dengan kerja. Saya tidak langsung berpeluang bercakap dengan Mahathir.


"Saya memang tidak tahu, hanya Kak Nita yang menyimpan jawapannya. Ada kemungkinan di lapangan terbang itu mereka berpisah. Seorang ke hulu, seorang lagi ke hilir, mungkin," katanya.


Kak Nita berkecil hati


Noor berkata, sebelum mengambil keputusan untuk pulang ke Las Vegas, Kak Nita sering menghubunginya pada tengah malam untuk meluahkan perasan terutama mengenai kerjaya. Noor mengakui, antara faktor yang mendesak Kak Nita mengambil keputusan drastik itu kerana berkecil hati dengan pengurusan sebuah saluran TV.


Perkara itu bagaimanapun, tidak pernah mereka bincangkan kerana Noor yang kali terakhir membintangi filem Penghujung Malam pada tahun 1992, enggan kakaknya itu berkecil hati.


"Apabila timbul pelbagai isu mengaitkannya, saya pilih untuk tidak bertanya. Jika Kak Nita mahu bercerita, saya sedia mendengar. Kak Nita tahu bagaimanapun mahu mencari saya. Jika Kak Nita masih ingat adik-beradiknya, saya pasti beliau akan mencarinya," katanya.


Mengulas desas-desus mengatakan Kak Nita sudah berhijrah dan kini mengasingkan diri, Noor berkata, jika perkara itu benar, beliau bersyukur dengan perubahan kakaknya itu.


"Tidak kisah jika Kak Nita mengasingkan diri untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Jika benar, Alhamdulillah kerana ini berita gembira buat saya dan keluarga. Jauh di sudut hati, saya mengharapkan Kak Nita bertemu insan yang boleh membimbingnya.


"Pada usia mencecah 69 tahun, apa lagi yang kita harapkan dalam hidup. Pengakhiran hidup itu yang harus kita fikirkan," katanya.







Post a Comment

0 Comments