"Saya Maafkan, Di Situ Ada Kelegaan..Setakat Ini Hanya Satu Keluarga Datang Minta Maaf.." - Bapa Zulfarhan

 


"Apa lagi yang boleh diungkapkan selain doa yang baik-baik, pada mulanya ibu bapa mana yang tak sedih anak mereka diambil nyawa dengan keadaan menyayat hati, tapi lama kelamaan rasa rendah diri menerima takdir dan redha ketentuan terus lega serta kami maafkan mereka.."


"Cuma nak pesan apabila mahkamah beri peluang ini janganlah jadi lagi, lupa diri, muhasabah diri apa yang telah lakukan, buat anak-anak di luar sana berhenti lah jadi pembuli.."


"Kami maafkan mereka semua, kami bersyukur hakim jatuhkan hukuman tersebut, pada awalnya rasa tak adil kerana tak dikenakan kanun keseksaan seksyen 302 tapi takpalah terima kalau itu terbaik.."


Namun kes ini akan diteruskan ke mahkamah rayuan oleh peguam keluarga Zulfarhan dalam masa 14 hari dan tertuduh juga akan failkan pembelaan.


"Pesanan saya kepada masyarakat di luar sana jangan jadi pembuli. Perbuatan itu menyebabkan saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan, idola dan teladan kepada adik-adik," katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.


Ditanya bagaimana hubungannya dengan keluarga tertuduh, Zulkarnain berkata, hanya satu keluarga saja yang datang datang memohon maaf kepadanya dan isteri.


"Satu keluarga saja yang datang, seolah-olah anak saya pula yang bersalah dan membunuh.


"Janganlah begitu, kita sebagai bapa, jangan putuskan silaturahim," katanya.


Sementara itu, isterinya, Hawa Osman, 58, mengakui sering menangis setiap kali melihat pingat milik Zulfarhan yang diletakkan di depan katilnya.


Hawa berkata, ia kerana Allahyarham Zulfarhan pernah memesan supaya melihat pingat itu jika merinduinya.


"Saya sebagai ibu amat terkesan dan selalu menangis mengenangkan arwah kerana bergantung kepada Zulfarhan untuk membawa saya ke mana-mana.


"Saya juga setuju dalam masa 14 hari ini, kes ini dibawa ke mahkamah rayuan dan saya akan ke sana juga.


"Kepada tertuduh, mereka diberi pulang oleh hakim kerana kesalahan pertama. Jangan ada kesalahan kedua, ketiga selepas dibebaskan daripada hukuman penjara, itu yang saya minta," katanya.


Mahkamah Tinggi hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut UPNM kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan Osman.


Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan hukuman mereka mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu selepas melihat kepada pertimbangan pelbagai aspek termasuk semua pihak terjejas terutama kesan dialami keluarga mangsa.

Post a Comment

0 Comments