Ladang Getah Dalam Filem 'Anak Bapak' Rupanya Dekat Sini, Daripada Sebuah Ladang Sekarang Menjadi Bandar Maju

 


Ladang Hawthornden, Wangsa Maju, Tun Dr. Mahathir & 'Dawn Raid'


Bagi yang sering membaca blog, pasti anda semua pernah membaca atau mendengar kisah serangan ‘Dawn Raid’ atau 'Serangan Subuh' yang menyaksikan pemilikan syarikat Guthrie oleh kerajaan Malaysia dalam tempoh 5 jam sahaja pada tahun 1981 (sila lihat keratan laporan akhbar NST pada tahun 1981).


Kisah ini sebenarnya sedikit sebanyak turut berkait kepada kewujudan Wangsa Maju dan pembangunan di sekitar kawasan Kuala Lumpur. Di awal tahun 1980an, kawasan sekitar Kuala Lumpur masih merupakan kawasan luar bandar dan hanya dikelilingi oleh ladang getah, lombong bijih timah dan kampung setinggan. 


Pada waktu itu, pembangunan di sekitar Kuala Lumpur sukar untuk dijalankan berikutan kebanyakan pemilik-pemilik ladang getah dan lombong bijih timah ini enggan untuk menyerahkan pemilikan tanah mereka kepada kerajaan untuk dibangunkan. 


Ini menyebabkan kawasan sekitar Kuala Lumpur kekal menjadi kawasan luar bandar yang hanya dihuni oleh penduduk kampung dan pekerja ladang. Selain itu, ekonomi Malaysia pada waktu itu juga masih mengharapkan kepada pertanian dan bijih timah dan tidak banyak kilang perusahaan ditubuhkan dan beroperasi pada waktu itu.





LADANG HAWTHORNDEN : DARI LADANG GETAH KE BANDAR MODEN WANGSA MAJU. DAHULU JADI LOKASI FILEM P.RAMLEE "ANAK BAPAK". 


Bagi generasi kini, pasti ramai yang tidak pernah mendengar tentang Ladang Hawthornden dan mungkin jika ditanya, ramai yang akan menganggap ladang ini terletak di luar negara. Ini mungkin disebabkan tiada sebarang tanda atau maklumat yang diberikan berkenaan ini. 


Ladang Hawthornden merupakan nama asal bagi Wangsa Maju sebelum ditukar oleh pihak kerajaan pada 1984. Ladang ini dimiliki oleh hartawan cina yang bernama Loke Yew di atas nama syarikatnya yang bernama Hawthornden Rubber Estate Company Ltd. Loke Yew merupakan seorang pendatang daripada Cina pada asalnya dan menjadi hartawan selepas melibatkan diri dalam perniagaan lombong bijih timah dan ladang getah di Malaya pada sekitar awal tahun 1900 an.


Beliau telah banyak berjasa kepada kemajuan Kuala Lumpur dan seorang yang dermawan di mana antara jasa beliau yang sangat diingati adalah beliau telah mendermakan bangunan milik beliau untuk menjadi sekolah di tengah-tengah kuala lumpur yang kini dinamakan sebagai Victoria Institution School. Beliau dikebumikan di Kampung Loke Yew di Jalan Semarak, Kuala Lumpur berdekatan dengan UTM Jalan Semarak di mana kini telah pun menjadi kawasan rizab untuk Kementerian Pertahanan.


Atas jasa beliau yang banyak berjasa kepada Kuala Lumpur, nama beliau telah diabadikan pada nama jalan di Pudu yang dinamakan sebagai Jalan Loke Yew sebagai mengenang sumbangan beliau ke atas pembangunan awal Kuala Lumpur.


Dr Mahathir selaku perdana menteri pada waktu itu berpandangan jauh di dalam membangunkan ekonomi Malaysia, beliau melihat keperluan mewujudkan bandar baru dapat menarik warga bumiputra untuk tinggal di kawasan bandar di samping merancakkan lagi ekonomi bandar melalui peningkatan populasi penduduk bandar. Namun keengganan pemilik ladang getah untuk memberi kerjasama terutamanya pemilik ladang British menyebabkan beliau merancang untuk melaksanakan serangan dawn raid untuk mengajar pemilik-pemilik ladang yang sombong ini.


Selepas kejayaan kerajaan Malaysia ‘menawan’ syarikat perladangan gergasi British Guthrie, maka barulah pemilik-pemilik ladang dan lombong ini membuka mata dan mula memberi kerjasama untuk menyerahkan tanah mereka di sekitar Kuala Lumpur untuk dibangunkan kepada kerajaan. Perlahan-lahan, kawasan pinggir bandar Kuala Lumpur mula dibangunkan satu persatu dan antara tempat yang mula-mula dibangunkan kerajaan pada waktu itu adalah di Taman Setapak Jaya dan Seksyen 1 Wangsa Maju.


Pembangunan Wangsa Maju ini turut dirasmikan sendiri oleh Dr Mahathir sebagai menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan beliau untuk melihat sendiri kawasan ini dibangunkan.





Kini ladang getah Hawthornden di Wangsa Maju hanya menjadi kenangan lalu dan saki-baki ladang getah ini masih boleh dilihat di Bukit Dinding, Seksyen 6 Wangsa Maju. Tinggalan kilang memproses getah di Kg Puah, Gombak juga telahpun dirobohkan pada tahun 2012 bagi memberi laluan kepada pembangunan di kawasan sekitarnya.


Dalam tempoh tidak sampai 20 tahun, Ladang Hawthornden yang dahulunya hanyalah ladang getah berubah rupa menjadi Bandar Wangsa Maju yang pesat membangun. Memori ladang getah ini kini mungkin hanya diingati oleh generasi lama yang pernah melihat sendiri tempat ini suatu ketika dahulu.


Ya! Info tambahan juga, antara babak didalam filem P.Ramlee berjudul Anak Bapak juga dilakonkan didalam ladang ini.






Post a Comment

0 Comments