'Daddy sempat tolak Yaya ke tepi jalan sebelum dilanggar'


Kuala Lumpur: "Dia suami dan bapa yang penyayang sehingga akhir hayatnya," kata Nor Shawany Ahmad Radzi, 37, mengenai suaminya yang meninggal dunia akibat kemalangan di Jalan Sungai Tua, Gombak, pada Rabu lalu.


-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Mohd Khairee Idrus Tam, 39, yang menunggang motosikal sempat menolak anak perempuannya ke tepi jalan sebelum maut dirempuh sebuah lori manakala anaknya, Khayra Shakira, 8, cedera di kaki.


Nor Shawany berkata, dia menerima panggilan kejadian kira-kira jam 6 petang daripada guru dan orang awam sebelum bergegas ke lokasi.


"Setiap hari suami memang hantar dan ambil anak tunggal kami di sekolah pada waktu petang. Yaya (anak) beritahu semasa dalam perjalanan pulang, suami mengelak sebuah kereta yang membuka pintu secara tiba-tiba menyebabkan mereka terjatuh.


"Ketika itu suami sempat tanya keadaan Yaya dan mereka tidak cedera lalu bangun semula. Yaya beritahu daddy mahu mengangkat motosikal dan ketika itu datang sebuah lori yang mungkin tidak nampak mereka jatuh.


"Yaya berkata daddy menolaknya dengan kuat ke tepi jalan sebelum daddy dan motosikalnya dilanggar lori itu," katanya ketika dihubungi.


Nor Shawany berkata, anaknya sudah dibenarkan keluar Hospital Selayang semalam, selepas menerima rawatan namun masih berkerusi roda kerana terdapat keretakan pada buku lali.


"Anak masih trauma dengan kejadian itu, namun bersyukur dia kuat dan faham bapanya sudah tiada. Dia sangat rapat dengan arwah berbanding saya disebabkan arwah mengurus dan menjaganya kerana bekerja di rumah.


"Lebih terkilan, saya tidak sempat berbual dengan suami di rumah sebelum dia keluar mengambil anak seperti kebiasaan kerana arwah minta saya singgah membeli makanan di bazar Ramadan sebelum pulang ke rumah.


"Kami juga sudah tempah baju raya sedondon warna ungu tapi arwah tidak sempat memakainya," katanya jenazah selamat dikebumikan di kampung halaman di Temerloh, Pahang.


Katanya, dia sangat merasai kehilangan kerana suami satu-satunya teman hidup selepas dia bergelar yatim piatu namun reda dengan ketentuan Ilahi.


Menurutnya, kehilangan arwah turut dirasai ahli keluarga dan rakan kerana disifatkan seorang yang periang, peramah dan suka buat orang ketawa.


Justeru, Nor Shawany mengharapkan pemilik kenderaan supaya lebih berhati-hati untuk membuka pintu kereta bagi mengelak berlaku kemalangan dan meminta individu yang mempunyai kamera papan pemuka merakam kejadian supaya tampil membantu siasatan polis.

Post a Comment

0 Comments