Hans Issac digesa letak jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia


Hans Isaac digesa meletakkan jawatan sebagai pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) susulan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang rosak buat kali ketiga.


Menurut Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Hans yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah gagal menjalankan tugasnya.


“Dia (Hans) tidak jalankan tugasnya dengan baik untuk negara (yang) melibatkan imej dan profesionalisme pengurusan aset stadium kita.


“Ini memberi kesan kepada pasukan, rakyat (dan) cukai negara. (Kejadian padang SNBJ rosak) ini kali ketiga.


“Bukan pertama kali (tapi) kali ketiga. Cukuplah, Hans Isaac. Kalau dia tahu malu, letak jawatan,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.




Isu padang SNBJ terus hangat diperkatakan susulan tersebarnya video dan gambar permukaan padang yang rosak susulan penganjuran konsert Ed Sheeran yang berlangsung pada 24 Februari lalu.


Malah pasukan Malaysia dan Oman, yang bakal bertembung dalam pusingan kedua Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 pada malam ini, tidak dapat berlatih di padang tersebut, seperti lazimnya dilakukan sehari sebelum perlawanan.


Isu sama turut berlaku pada November lalu apabila PSM membenarkan konsert Coldplay dianjurkan di atas padang SNBJ.


Ia mengakibatkan permukaan padang rosak sedangkan ia adalah rumput baru jenis Zeon Zoysia yang ditaja oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim.


Ketika itu, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh turut menggesa Hans meletakkan jawatan.


Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan keadaan padang SNBJ sebagai memalukan negara kerana perlawanan membabitkan Malaysia dan Oman malam ini bertaraf antarabangsa.


“Kita punya perlawanan bertaraf antarabangsa tetapi padang bertaraf kampung kerana kita tidak dapat menguruskannya dengan baik.


“Kita juga khuatir 'mood' pasukan atau pemain kita ini terjejas (kerana) nak bermain atas rumput yang tidak begitu elok,” katanya, sambil menambah isu tersebut perlu diambil perhatian oleh PSM dan kerajaan agar ia tidak berlaku lagi.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments