Muka arwah anak mirip pembaca berita TV3, seorang ibu menangis tersedu-sedu melepas rindu





Demikian kata Nur Aqilah Adnan, ketika bercerita mengenai kunjungan tetamu istimewa iaitu seorang personaliti televisyen, Muhammed Ahmad Hamdan, ke kediaman ibu dan bapanya, baru-baru ini.


Menurut Nur Aqilah, dia sendiri tidak menyangka Muhammed, yang juga pembaca berita TV3 tidak keberatan untuk meluangkan masa berkunjung ke rumah ibu bapanya yang terletak di Batang Kali, 


Selangor bagi mengubati kerinduan mereka sekeluarga terhadap arwah abang sulungnya, Allahyarham Mohd Afiq Adnan.


Allahyarham Mohd Afiq meninggal dunia pada 10 Ogos 2021 akibat Cov1d pada usia 36 tahun.




Sejak pemergian Mohd Afiq dua tahun lalu, kerinduan keluarga Nur Aqilah sedikit sebanyak terubat setiap kali menonton Buletin Utama kerana wajah pembaca berita berkenaan mirip arwah.


Berkongsi cerita bagaimana pertemuan menyentuh hati antara Muhammed dan keluarganya berlaku, Nur Aqilah berkata segala-galanya bermula apabila lelaki itu membalas kiriman mesejnya di Instagram.


"Sebelum ini kami sekeluarga terutama mak ayah tertunggu-tunggu depan televisyen sebab nak tengok berita. Bukan kami je tengok sama, tapi kenalan pun cakap yang sama.


"Genap dua tahun arwh abang 'pergi' iaitu pada 10 Ogos lalu, saya beranikan diri hantar DM dekat Instagram encik Muhammad. Mesej itu sekadar meluahkan kerinduan, tak lebih daripada itu.

Nur Aqilah (dua, kanan) serta kakak dan abangnya bergambar bersama Muhammed (dua, kiri) yang berkunjung ke rumah ibu bapanya Ahad lalu.


"Tak sangka, dia reply dan beritahu nak berkunjung ke rumah pada Ahad (13 Ogos). Selepas itu saya bincang dengan adik beradik termasuk kakak ipar (balu arwah).


"Kami tak beritahu mak ayah sebab nak buat kejutan. Saya minta mak masakkan rendang ayam sebab teringin nak makan. Konon macam makan-makan dengan adik beradiklah. Awal pagi Ahad dia masuk dapur dah.


"Tiba waktu lepas Zohor, saya minta dia bersiap dan beritahu kawan datang... tetamu ni istimewa sikit. Bila mak keluar dapur, tergamam dia... lantas baru dia peluk encik Muhammad seolah-olah melepas rindu yang terpendam," ujar wanita berusia 24 tahun ini.


Aturan Allah tu cantik sangat. Dia hadirkan insan yang mirip dengan arwah untuk kami ubati rindu.


Tambah Nur Aqilah, seisi keluarganya tidak dapat menahan air mata saat melihat ibu mereka menangis ketika menatap wajah Muhammed.


"Pertemuan selama kira-kira dua jam itu sungguh bermakna. Encik Muhammed yang datang bersama ibunya sangat baik dan kami macam dah kenal lama.


"Saya berterima kasih kepada encik Muhammed, semoga Allah balas ketulusan hatinya dengan kebaikan. Walaupun tak 100 peratus sama, tapi mata, mulut, bentuk wajah saling tak tumpah macam arwah abang.


"Kebetulan juga, umur mereka sebaya... hanya berbeza bulan kelahiran. Akhirnya dapat juga mak ayah lepaskan rindu pada arwah abang," ujarnya lagi.


Tidak menyangka video pertemuan yang dimuat naik di TikTok menyentuh hati ramai, Nur Aqilah turut melahirkan rasa terharu apabila ramai yang turut menitipkan doa buat arwah abangnya.




"Bila baca komen, ramai yang turut sama sebak dan seolah-olah dapat menyelami perasaan kami sekeluarga yang rindukan arwah abang. Saya buat hanya untuk mak ayah... nak lihat mereka gembira.


"Kami bukan tak reda... hanya orang yang pernah rasa kehilangan saja faham apa yang dilalui. Ia lebih kepada rindu. Aturan Allah tu cantik sangat. Dia hadirkan insan yang mirip dengan arwh untuk kami ubati rindu," akhirinya.


Sumber:mstar

Post a Comment

0 Comments