Penerbit dan pengarah Ahmad Idham dan Shahrulezad pangkah pelakon bermasalah

Pengarah dan penerbit Saharulezad dan Ahmad Idham

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah Dr Ahmad Idham, 52, sejak dulu sudah 'memangkah' artis yang terbabit dengan kontroversi atau bermasalah kerana mereka hanya akan menjejaskan kerja-kerja produksi.


Ahmad Idham berkata, sebelum memulakan penggambaran, dia akan memastikan artis itu tidak akan mendatangkan masalah.


"Saya sudah praktikkan sejak di era sebelum kewujudan media sosial lagi. Sebelum apa-apa terjadi, saya akan pastikan mengambil artis yang takkan mendatangkan masalah.


"Golongan ini memang akan menjejaskan produksi. Ia akan membawa kesusahan di mana produksi menanggung rugi dan terpaksa keluarkan kos tambahan. Itu belum lagi jika stesen TV tolak projek itu," katanya.




Ahmad Idham sendiri pernah berdepan artis yang ada kes mahkamah, bercerai, tak boleh bangun pagi dan mengambil dadah ketika penggambaran.


"Dulu nasib baik media sosial tak ada, berita itu kadang-kadang lambat. Kami sempat 'cover' dan buat 'damage control', sempat tukar artis sebelum ia jadi kecoh.


"Kadang-kadang perkara sebegitu mendatangkan kesan ke peringkat stesen TV. Stesen akan tarik balik projek kalau tak boleh disempurnakan.


"Tapi hari ini dalam dunia media sosial, saya lihat sudut positifnya. Kalau memang bermasalah, nampaklah. Saya tak rasa penerbit lain pun akan ambil artis bermasalah," katanya.


Sementara itu, penerbit dan pengarah Shahrulezad Mohameddin, 51, juga tidak menolak untuk mengambil pendekatan sama.





Bagaimanapun, katanya, dia takkan terus membuat kesimpulan sendiri atau mengikut emosi menghakimi artis yang terbabit kontroversi.


"Biasanya kami akan siasat dan fikir kenapa perkara itu berlaku. Kadang-kadang mereka akan ada alasan tersendiri yang semestinya berpihak kepada mereka. Saya juga mungkin akan ambil tindakan seperti dibuat Datuk A Aida.


"Tapi sebelum itu saya akan siasat betul-betul dan teliti adakah wajar untuk boikot, 'blacklist' (senarai hitam), rasa ada salah faham di situ dan beri peluang atau rehatkan mereka sekejap.


"Saya kena hati-hati, tak boleh ikut emosi sangat. Pelakon pun kena menjaga perkara-perkara sebegitu kerana ia memang akan membabitkan kami di pihak produksi," katanya.


Bagaimanapun, Shahrulezad menekankan yang menjadi masalahnya, apabila kontroversi itu muncul, kesannya menimpa produksi dan stesen TV. Apatah lagi apabila netizen sudah masuk campur dan mereka pula yang akan menghakiminya.


"Akan ada unsur boikot-memboikot sebab stesen TV akan mengelak ketengahkan artis bermasalah buat sementara waktu dan ia akan tetap menjejaskan produksi.


"Walaupun kami ada hubungan baik dengan pelakon itu sendiri, akan jadi masalah bila stesen TV cakap bahaya kerana akan membabitkan 'rating'.


"Kebanyakan penonton drama di Malaysia majoritinya wanita. Kita kena faham isu-isu sebegitu, pasal penyondol, sangat sensitif. Mereka akan boikot dan tak peduli kontroversi itu betul atau tidak," katanya.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments