3 beranak selisih maut, tak cedera walau kereta jatuh gaung Gunung Inas




BALING: Suami isteri dan seorang anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun selamat dan tidak cedera walaupun kereta yang mereka naiki terbabas dan jatuh ke gaung di Gunung Inas di sini semalam.


Ketua polis Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, berkata dalam kejadian jam 7 malam, keluarga itu dalam perjalanan menggunakan Honda City dari Kampung Baru Kuak Luar di Pengkalan Hulu ke Baling.



Apabila sampai di tempat kejadian, wanita yang dikenali sebagai Nur Raihan Rumli yang sedang memandu telah kehilangan kawalan ketika sedang menuruni bukit.


"Kereta itu terjunam ke gaung di kanan jalan menyebabkan kereta itu rosak teruk," katanya dalam kenyataan.



Shamsudin berkata Nur Raihan, suaminya Abdul Jalal Mat Zaini, 26 tahun, dan anak lelaki mereka Muhammad Adib Kamali Abdul Jalal tidak cedera.



"Bagaimanapun, wanita itu dimasukkan ke zon merah Hospital Baling untuk pemerhatian kerana dia mengandung tujuh bulan," katanya.



Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Baling, Mohd Jamil Mat Daud, berkata penyelamat telah menggunakan tali untuk turun ke gaung untuk mengeluarkan mangsa.



"Mangsa-mangsa itu telah diselamatkan dan kemudian diberi rawatan sebelum dibawa ke Hospital Baling," katanya.


Kredit: Berita Harian



Post a Comment

0 Comments