Cico makin derita sakit, mohon bantuan kepada persatuan seni




Selepas dikatakan menghidap penyakit misteri, beberapa tahun lalu, anak penyanyi lagenda, Uji Rashid iaitu Cico Harahap, 47, berdepan satu lagi ujian apabila dilapor mengalami masalah jantung.


Keadaan itu menyebabkan Cico dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor, sebelum ketibaan Syawal, baru-baru ini, akibat kaki yang membengkak.



Berkongsi perkembangan terkini sahabatnya itu, penyanyi, Salimey Abu Bakar memberitahu, sejak lapan tahun lalu, Cico hilang sumber pendapatan selepas menghidap penyakit misteri yang membataskan keupayaan diri.



"Bagaimana hendak bekerja kerana keadaannya lemah. Selain itu, percakapannya masih tidak betul selepas terkena penyakit misteri pada 2016.



"Pada masa sama, Cico perlu besarkan anaknya yang berusia 15 tahun. Jadi, kehidupannya agak mencabar.



"Cico meluahkan rasa sedih apabila penderitaan ditanggung tidak mendapat perhatian persatuan seni.



"Saya faham keadaan dihadapi Cico. Insya-Allah, saya akan cuba membantu secepat mungkin bagi meringankan beban yang ditanggung," katanya.



Salimey yang berpeluang melawat Cico di Hospital Ampang, baru-baru ini, sudah menghubungi Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi bagi memaklumkan keadaan kesihatan pelakon itu.






Salimey juga bercadang membawa wakil Pusat Pengurusan Zakat (PPZ) andai perancangan membawa Ahmad Farhan yang mewakili Perdana Menteri, menziarahi Cico, diatur.



"Sebelum ini, saya pernah melakukan perkara sama untuk penyanyi Ali XPDC.


"Saya akan cuba sedaya upaya membantu meringankan beban Cico, termasuk mendapatkan bantuan PPZ sebab dia tidak mampu bekerja," katanya.


Sejak bergelar pelakon, Cico banyak membintangi filem antaranya Puteri Impian, Mistik dan Kuliah Cinta.


Pada 2016, Cico dilapor mengalami masalah kesihatan serius selepas menghadiri majlis sambutan hari jadi.


Sejak itu, pelbagai usaha dilapor dilakukan Uji untuk merawat Cico, termasuk menjalani perubatan secara Islam.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments