DJ Dave (YKAT) kutip RM12,000 bantu pelakon Ali Baba Bujang Lapok


KUALA LUMPUR: Keperitan hidup ditanggung pelakon filem klasik, Ali Baba Bujang Lapok iaitu Kadir Mamat, 92, mendapat perhatian Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) apabila menyerahkan sumbangan RM12,259.55 bagi meringankan bebanan hidupnya.


Wang berkenaan hasil kutipan orang ramai menerusi tabung bantuan yang dibuka sejak Februari lalu.



Presiden YKAT, Datuk DJ Dave berkata, pihaknya berharap sumbangan berkenaan dapat meringankan bebanan ditanggung pelakon yang menjadi penyamun pertama yang disimbah minyak panas oleh Marjina lakonan Seniwati Datuk Sarimah Ahmad dalam filem hitam putih terbitan Malay Film Productions pada 1961.


Katanya, Kadir kini terlantar akibat penyakit asma dan kanser prostat yang dihadapi sejak empat tahun lalu.


"Kami baru menghubungi Kadir menerusi panggilan video dan memaklumkan mengenai sumbangan berjaya dikumpulkan.


"YKAT akan menyerahkan sumbangan kepada Kadir secepat mungkin agar wang berkenaan boleh digunakan untuk membeli ubat-ubatan dan makanan.


"Sebelum ini, YKAT pernah menghulurkan sumbangan kepada Kadir kira-kira empat tahun lalu.



"Kami juga pernah menyumbangkan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan Kadir.



"Insya-Allah, kami akan mencari masa yang sesuai untuk menziarahi Kadir yang kini menetap di Kelantan bersama isterinya, Hasmah Yusof," kata DJ Dave.



DJ Dave berkata, dia berterima kasih kepada orang ramai yang sudi menghulurkan sumbangan.



Namun, katanya, apa yang lebih membuatkannya terharu apabila sumbangan berkenaan datang daripada berbilang bangsa.



"Apabila terima penyata bank, kami lihat penderma terdiri daripada semua kaum di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.



"YKAT mengucapkan ribuan terima kasih kerana sudi menderma bagi meringankan beban Kadir yang kini tidak lagi dapat bekerja," katanya.



Kadir pernah membawa watak penyamun pertama yang disimbah minyak panas oleh Sarimah dalam filem Ali Baba Bujang Lapok.


Selain filem Ali Baba Bujang Lapok arahan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Kadir turut terbabit dalam tiga lagi filem klasik iaitu Pendekar Bujang Lapok, Kanchan Tirana dan Enam Jahanam.



Selepas empat filem, Kadir pulang ke kampung halaman dan menyambung kerjaya seni di bawah kumpulan pelawak tempatan dikenali Wok Sir selama hampir 20 tahun, selain menjadi sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam untuk mencari rezeki.


Kadir tidak mempunyai cahaya mata kini hanya bergantung hidup dengan bantuan bulanan RM400 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments