Hantaran jelik hina kru TLDM terkorban, Saifuddin Shafik terima padah


TAIPING - Padah membuat hantaran jelik mengenai korban nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), seorang lelaki didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Taiping pada Jumaat.


Hakim Nabisha Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Saifuddin Shafik, 36, yang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah menggunakan aplikasi X miliknya secara sedar untuk membuat hantaran yang jelik dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.


Hantaran itu telah dibaca pada 23 April 2024 jam lebih kurang jam 6.30 petang di Gedung Sari Jalan Harmoni, Pusat Bandar Bagan Serai dalam daerah Kerian.


Bagi tindakan itu, tertuduh yang bekerja sebagai peniaga dalam talian didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan boleh dihukum di bawah akta sama.




Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.


Mengikut fakta kes, tertuduh telah membuat hantaran tersebut menggunakan akaunnya 'Saifuddin Shafik@saishafik' sekitar jam 1.15 petang pada 23 April lepas yang berupa satu respons ke atas video kemalangan helikopter TLDM yang terhempas dan mengorbankan ramai kru semasa raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM di Pangkalan TLDM Lumut.




Satu laporan polis telah dibuat ke atas tertuduh pada hari sama kerana merasakan hantaran tersebut sesuatu yang menghina.


Kredit: Sinar harian

Post a Comment

0 Comments