Hukuman mati lelaki bunuh Rayyan diganti penjara 35 tahun, 12 sebatan

 


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan menggantikan hukuman mati itu kepada penjara selama 35 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan membunuh anak lelaki kekasihnya yang berusia enam tahun pada 2018.


Keputusan itu dibuat sebulan suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.


Azmi berkata, tiada kekhilafan mengenai sabitan kesalahan terhadap tertuduh, Noraizuwan Hamali oleh Mahkamah Tinggi Kangar sebelum ini.


Katanya, tiada merit dalam rayuan dibuat dan sabitan terhadap lelaki itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan adalah selamat untuk dikekalkan.


"Justeru, kami (panel hakim) sebulat suara menolak rayuan perayu (Noraizuwan ) terhadap sabitan. Mengenai hukuman, kuat kuasa Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 (Act 846) pada 4 Julai 2023 boleh mempertimbangkan faktor mitigasi dan pemberat.


"Ia bagi melaksanakan kuasa budi bicara untuk menentukan hukuman bersesuaian kesalahan dilakukan sama ada menjatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun dengan sebatan tidak kurang 12 kali.


"Setelah diperhalusi, kami sebulat suara mendapati mitigasi diketengahkan tidak menjustikasikan hukuman mati. Sehubungan itu, rayuan perayu terhadap hukuman dibenarkan.


"Hukuman gantung sampai mati dijatuhkan Mahkamah Tinggi diketepikan dan digantikan hukuman pemenjaraan selama 35 tahun dari tarikh tangkap iaitu 19 April 2018 dan 12 sebatan," katanya melalui alasan penghakiman bertarikh semalam yang dimuat naik menerusi sistem pengurusan e-Kehakiman.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Muhammad Rayyan Hidayat Hairil Khan di sebuah rumah di Kampung Jejawi, Kangar pada 18 April 2018 antara jam 3.45 petang hingga keesokannya jam 12.10 tengah malam.


Azmi berkata, Noraizuwan gagal memberi penjelasan bagaimana ada kesan kecederaan yang banyak pada mangsa hingga menyebabkan kematian.


Berikutan itu, Mahkamah Rayuan menyimpulkan bahawa lelaki berkenaan adalah individu yang melakukan kesalahan itu.


"Mengenai kecederaan dialami mangsa, SP6 (saksi pendakwaan keenam, Dr Mohd Suhani Mohd Noor) mengesahkan punca kematian disebabkan kecederaan abdomen, organ dalaman dan pendarahan.


"Malah, SP6 mengatakan bahawa corak kecederaan boleh dikategorikan sebagai bukan bersifat kemalangan. SP6 mendapati kecederaan ke atas mangsa boleh dilakukan oleh seorang individu," katanya.


Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments