Rempuh Penunggang Motosikal Dekat Lampu Isyarat, Warga Emas Mengaku Tidak Bersalah

 




Kira-kira dalam hujung tahun lepas, tular satu video insiden kemalangan di lampu isyarat Jalan Bukit Gambir, Georgetown, Pulau Pinang.


Dalam kemalangan itu, seramai 4 orang penunggang motosikal cedera dirempuh Myvi yang dipandu oleh wanita warga emas. 


@utusantvofficial Kejadian di lampu isyarat Jalan Bukit Gambir, di George Town semalam  #trendingnewsmalaysia #beritaditiktok #fyp #penang #myvihilangkawalan #myvi ♬ Suspense, horror, piano and music box - takaya


Susulan itu, Tan Leuk Ley, 76, yang dihadapkan Mahkamah Majistret Jenayah, Georgetown hari ini mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin.


Dalam pertuduhan, warga emas itu memandu dengan kelajuan bahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang membabitkan 3 motosikal yang terdiri daripada 5 penunggang dan pembonceng yang berusia dalam lingkungan antara 15 hingga 40 tahun.



Memetik laporan Harian Metro, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali dan tertuduh diwakili peguam, Dev Kumaraendran.


Pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan namun Dev memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya kini mengalami kolesteatoma (ketumbuhan dalam telinga) sejak 2002 sehingga hilang pendengaran pada telinga kanan.


“Anak guam saya pernah dibedah tiga kali dan masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Pulau Pinang dan hospital swasta.”


“Anak guam saya juga seorang pesara yang dahulunya berkhidmat sebagai kerani di IPK Pulau Pinang selama 30 tahun dan mempunyai pendapatan pencen RM1,800 sebulan.Tertuduh kini dijaga anak perempuannya sejak kematian suami 10 tahun lalu.”


Susulan itu, pihak mahkamah telah menetapkan jaminan RM15,000 untuk kesemua pertuduhan bersama dengan seorang penjamin, malah tertuduh dilarang mengganggu mangsa dalam kes tersebut. Mahkamah turut menetapkan 8 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.


Sumber: Lobak Merah


Post a Comment

0 Comments