Treler tak sempat break, langgar kereta depan… Ini identiti 6 sekeluarga maut tragedi kemalangan Segamat

 



POLIS mengenal pasti identiti enam sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan menyayat hati membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat, Johor dari Kuantan, Pahang pada Jumaat Lepas.


Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, nahas yang berlaku kira-kira pukul 6.37 petang itu meragut nyawa pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46 serta lima lagi ahli keluarganya.


Identiti lima mangsa yang lain ialah isteri Amir Ruddin, Norahimah Noor Muhamad, 43, dan anak mereka, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.


“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Honda HR-V sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke arah Segamat memperlahankan kenderaan kerana dihadapannya terdapat kerja-kerja pembaikan jalan raya.



“Tiba-tiba sebuah treler membawa muatan pasir yang sedang bergerak dari arah yang sama gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Honda HR-V terbabit dan sebuah Proton Wira yang sedang berhenti.


“Honda HR-V yang dilanggar lori pasir berkenaan kemudian turut melanggar sebuah kereta Proton Wira sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Perodua Alza yang dinaiki enam mangsa maut itu,” katanya.


Menurut Ahmad Zamry, lima kenderaan terlibat adalah sebuah Honda HR-V, Perodua Alza, Proton Wira, Perodua Bezza dan sebuah treler jenis Mercedes.


Katanya lagi, seorang lagi mangsa yang juga penumpang kereta Perodua Alza, Abdullah Amir Ruddin, 15, dan pemandu lori sedang dirawat di Hospital Segamat akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan badan.


Tambahnya, pemandu serta penumpang Honda HR-V, Proton Wira dan Perodua Bezza bagaimanapun terselamat.


“Polis memohon saksi yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) ditalian 079325811 atau balai polis berhampiran,” katanya.


Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Sumber: MStar

Post a Comment

0 Comments