Owner homestay sedar tetamu cantik, wangi tak semestinya bersih! Tak kisah rumah ditinggalkan kotor, bersepah cuma minta ‘pad’ cuci sendiri

 

Mencuci rumah yang kotor selepas disewakan bukan satu tugas mudah. -Gambar hiasan (kanan)


Banyak perkongsian di media sosial mendedahkan kisah mengenai bilik hotel atau homestay yang ditinggalkan dalam keadaan kotor oleh penyewa.


Sikap tidak bertanggungjawab tetamu atau penyewa pengotor ini membuatkan kebanyakan pemilik naik angin apatah lagi jika perlu menanggung kos baik pulih barang atau kediaman.


Bagaimanapun Naomel Harun yang merupakan pemilik homestay tidak mempunyai masalah jika rumah ditinggalkan dalam keadaan kotor oleh tetamu atau penyewa.


Menerusi hantarannya di Facebook, wanita itu menunjukkan foto singki dapurnya yang mempunyai sampah dan kuali serta gelas yang tidak dicuci oleh tetamunya yang sudah 'check-out'.


Rumah yang disewakan atau dijadikan homestay berisiko untuk ditinggalkan tetamu dalam keadaan kotor dan bersepah. -Gambar hiasan


"Apabila ada tetamu tinggalkan rumah macam ni dan ada kalanya lebih teruk daripada ni, sebenarnya kami okay je.


"Kadang-kadang tu, tuala wanita letak di singki. Lampin pakai buang anak bersepah-sepah, pinggan mangkuk penuh singki.


"Sisa makanan dibiarkan bersepah dan seluar dalam jenis pakai buang tidak dibuang. Itu perkara biasa bagi kami," dia menceritakan tentang sikap penyewa-penyewa sebelum ini.


Menawarkan perkhidmatan sewa kereta dan rumah inap di Kluang, Johor, wanita ini faham bahawa tidak semua tetamu bersikap pembersih dan akan menjaga homestay miliknya dengan baik.


Bagaimanapun, dia tidak dapat bertoleransi dengan penyewa yang meninggalkan sampah menjijikkan seperti 'panty liner' dan tuala wanita yang tidak dicuci.


"Kami boleh cuci, bersih dan kemas semula. Kami tak kisah pun tetamu nak buat macam tu.


"Tetapi kalau boleh tolonglah ada common sense dalam bab-bab kebersihan. Tuala wanita... sebelum letak dekat singki tolonglah basuh darah tu bagi bersih.


"Kami 'owner' bukan minta suruh kemas semula seperti awal 'check-in' tetapi cukuplah sekadar dapat menjaga kebersihan rumah," jelasnya.


Kami kalau keluar je dari homestay cukup risau kalau tak bersihkan semuanya macam mula-mula kami datang. - NETIZEN


Bercakap berdasarkan pengalaman, dia berkata, untuk mengetahui sama ada tetamunya pengotor atau sebaliknya, ia tidak boleh dinilai dengan hanya melihat personaliti atau luaran mereka semata-mata.


Bagaimanapun jelasnya, sejauh mana tetamu mementingkan kebersihan akan dapat diketahui selepas mereka mendaftar keluar dari penginapan.


"Rupa-rupanya muka yang cantik, bertudung labuh, berkereta mewah dan minyak wangi '10 kilometer' boleh bau tu ada kalanya gagal dalam bab kebersihan," ujarnya.


Perkongsiannya ini meraih perhatian netizen di ruangan komen Facebook.


Komen netizen terhadap hantaran dibuat.


Rata-rata berkongsi kisah dan pengalaman masing-masing apabila menyewa homestay.


"Kami kalau keluar je dari homestay cukup risau kalau tak bersihkan semuanya macam mula-mula kami datang.


"Kalau pengotor dekat luar, percayalah dekat rumah pun mesti 'berlendir'. Tu ayat mak saya kalau dia tengah membebel sebab tabiat elok tak elok ni memang dari rumah. Selalunya dibawa-bawa sampai luar.


"Saya pergi menginap mana-mana memang sentiasa pastikan kebersihan jadinya tak kelam kabut nak kemas masa nak keluar tu. Ini kalau sudah campak merata masa nak keluar tu memang tak ada dah nak kemas-kemas. Saya tak sampai hati kalau keluar dalam keadaan bersepah. Rasa malu," antara komen netizen.





Post a Comment

0 Comments