'Cikgu pegang tangan sambil menangis, beritahu mama dah meninggal dunia'

 



Ipoh: "Tiba-tiba cikgu bawa ke bilik guru, minta saya bersabar. Saya cuba tanyakan kenapa, mereka pegang tangan saya sambil menangis sebelum beritahu mama sudah meninggal dunia," kata Nur Qistina Awliya Mohd Azinoor, anak kepada Bintara Muda TNL Nor Rahiza Anuar.


Nor Rahiza, 39, ialah salah seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas membabitkan dua helikopter bertembung dan terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, hari ini


Ibu empat cahaya mata itu antara tujuh kru yang berada di dalam pesawat HOM (M503-3) yang terhempas di Stadium TLDM Lumut selepas perlanggaran terbabit.


Anak sulung mangsa, Nur Qistina Awliya, 16, berkata ketika kejadian jam 9.30 pagi itu, dia bersama kembarnya, Nur Qistina Auni berada di kelas masing-masing di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkalan TLDM.


"Kawan saya panggil, dia cakap... kau kena sabar tau.


"Sebaik kami tiba bilik guru, ramai cikgu dah ada. Mereka pegang tangan saya sambil menangis.


"Cikgu kata mama dah meninggal dunia disebabkan kemalangan helikopter," katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, malam ini.


Berkongsi kenangan semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Nur Qistina Awliya berkata, Nor Rahiza menunjukkan sikap yang aneh apabila ibunya begitu teruja merakam gambar pada pagi raya bersama-sama.


"Papa pun sampai cakap... tengok mak hang tu excited sangat.


"Lepas itu, mama cakap mana tahu dengan mama ini jadi yang terakhir, boleh simpan buat kenangan," katanya tidak dapat menahan sebak.


Menurutnya, Nor Rahiza adalah seorang ibu yang penyayang dan akan membeli apa-apa sahaja yang diminta oleh anaknya.


Mereka yang tinggal di kuarters Pangkalan TLDM Lumut sempat berbual ringkas pagi tadi sebelum Nur Qistina serta adik-adiknya pergi ke sekolah, manakala ibu bapanya yang bertugas sebagai anggota TLDM ke tempat kerja.


"Mama pesan supaya jaga adik baik-baik sebab kami pergi sekolah dengan berjalan kaki memandangkan jarak rumah ke sekolah sangat dekat.


"Mama memang selalu terbabit sebagai jurufoto di udara seperti sambutan Hari Kebangsaan, ini adalah kali pertama mama turut serta dalam Hari Ulang Tahun TLDM sejak bertugas di Lumut pada 2017.


"Semasa sampai di hospital tadi, doktor beritahu jenazah mama dalam keadaan sempurna, hanya bahagian rahangnya sahaja yang patah," katanya.


Nur Qistina berkata, jenazah ibunya akan dikebumikan di kampung mereka di Yan, Kedah sebaik urusan bedah siasat dijangka selesai lewat tengah hari esok.

Post a Comment

0 Comments