Lelaki maut dalam perjalanan ke rumah tunang

 



LIPIS  -- Hasrat seorang lelaki untuk bertemu dengan tunangnya tidak kesampaian apabila maut dalam satu kemalangan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 9, Jalan Benta-Jerantut.


Ketua Polis Daerah Lipis, Superitenden Ismail Man berkata insiden berlaku sekitar jam 1 tengahari semalam.


"Hasil siasatan awal, pihak polis mendapati pemandu lori seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun dari Jengka, Maran menuju ke Gua Musang untuk menghantar muatan tandan sawit.


"Manakala penunggang motosikal seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Kota Bharu menuju ke rumah tunangnya di Kampung Batu Balai, Jerantut.


"Apabila sampai di tempat kejadian, semasa melalui jalan berselekoh, motosikal tersebut telah bertembung dengan lori dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.


Akibat kejadian, mangsa Ahmad Solihin Fazuni telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.  Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Ujar Ismail lagi, beliau memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.


"Pihak polis juga menasihatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa memandu kenderaan secara berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan yang dipandun diselenggara dengan baik dan selamat," katanya lagi.



Sumber: Siakap Keli

Post a Comment

0 Comments