Pintu kereta terkunci automatik, budak 2 tahun terperangkap lebih setengah jam

 



KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun terperangkap lebih setengah jam dalam kereta bapanya di Jalan Bukit Bintang, di sini, malam tadi.


Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam selepas bapa kanak-kanak itu tertinggal kunci di dalam kereta sebelum pintu kenderaan terbabit terkunci secara automatik.



Berdasarkan maklumat, ketika itu bapa kanak-kanak terbabit dalam keadaan tergesa-gesa memakaikan lampin sebelum pintu terkunci secara automatik hingga menyebabkan anaknya terperangkap.



Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian itu bergegas ke lokasi.



"Pasukan kami mengambil masa hampir 10 minit untuk membuka pintu kereta dan menyelamatkan mangsa," katanya dalam kenyataan sebentar tadi.



Shahrul Kamar berkata, kanak-kanak terbabit diselamatkan sekitar jam 9.10 malam sebelum pemeriksaan kesihatan dilakukan pasukan perubatan.



Sumber: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments