Suspek warga Singapura ditahan bantu siasatan tuduhan bunuh Audrey Fang

 


SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura dihadapkan di mahkamah di Murcia, di tenggara Sepanyol, Jumaat lalu selepas dituduh membunuh seorang arkitek, Audrey Fang di negara berkenaan, awal bulan ini.

Suspek warga Singapura Mitchell Ong


Menurut media Sepanyol La Verdad, tertuduh Mitchell Ong, berusia 43 tahun dan mengenali mangsa beberapa tahun lalu.


Suspek dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari oleh polis Sepanyol.


Fang, 39, dilaporkan hilang semasa bercuti di Xabia, di tenggara Sepanyol.


Berdasarkan maklumat dan imej dari kamera litar tertutup (CCTV), mangsa masih hidup pada 9 April jam 8.45 malam dan dilihat telah dibawa menaiki sebuah kenderaan ketika meninggalkan hotel.


Menurut Polis sepanyol, mayat mangsa kemudian ditemui dengan kesan tikaman lebih 30 kali pada keesokan harinya di tempat letak kenderaan sekitar 150 kilometer (km) jauhnya dari hotel didudukinya.




Suspek kemudian ditahan di bilik hotelnya pada 16 April di Alicante, iaitu kira-kira 80 kilometer dari kawasan hotel diduduki mangsa.


Menurut laporan media, suspek didakwa sering menginap di hotel dan menyewa kereta mewah.


Jurucakap polis Sepanyol sebelum ini memberitahu bahawa suspek mungkin mempunyai hubungan percintaan dengan mangsa.


“Kami masih menyiasat motif pembunuhan ini. Terdapat pelbagai kemungkinan motif, antaranya disebabkan faktor ekonomi atau hubungan.


Sementara itu, menurut Pasukan Polis Singapura (SPF), pihaknya membantu rakan sejawatnya dari Sepanyol menyelesaikan kes jenayah berkenaan.


Menurut jurucakap itu, berikutan insiden berlaku di Sepanyol, SPF sudah dan akan terus memberikan bantuan yang diperlukan kepada pihak berkuasa Sepanyol.


Fang melancong secara bersendirian ke Xabia pada 4 April dan sepatutnya pulang pada 12 April dari Barcelona.


Keluarga Fang kemudiannya membuat laporan pada 11 April di Kementerian Luar Negeri Singapura selepas mangsa tidak dapat dihubungi sejak 10 April.


Selepas mayat Fang ditemui, keluarga mangsa mengesahkannya di sebuah bilik mayat di Murcia pada 18 April.


Mahkamah Majistret kemudiannya menetapkan mayat mangsa boleh dikembalikan kepada keluarganya untuk dihantar pulang ke Singapura. – AGENSI

Post a Comment

0 Comments